Friday, 16 March 2012

KARANGAN PMR 2008: Kempen memerangi nyamuk aedes telah diadakan di tempat tinggal anda. Tulis pengalaman anda semasa menyertai kempen tersebut.

CONTOH KARANGAN:
Pada cuti sekolah yang lepas, Jawatankuasa Rukun Tetangga di tempat tinggal saya telah menganjurkan kempen memerangi nyamuk aedes. Kempen tersebut diadakan di seluruh kawasan taman tempat tinggal saya. Kempen ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk tentang bahaya nyamuk aedes.
Terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti mewarna poster, pameran, sesi ceramah oleh Pegawai Kawalan Vektor yang telah dijemput khas dari Unit Kawalan Vektor di klinik kesihatan di tempat tinggal saya. Kempen ini telah berlangsung selama sehari suntuk/
Antara yang sempat saya ikuti ialah sesi ceramah yang dikendalikan oleh pegawai tersebut. Ceramah ini banyak memberikan input tentang nyamuk aedes. Setelah mendengar ceramah tersebut, barulah saya mengetahui bahawa nyamuk aedes betina yang matang yang membawa virus denggi.
Selain itu, kami juga telah melakukan gotong-royong bagi membersihkan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kami membuang segala jenis bekas yang boleh menakung air kerana nyamuk aedes suka membiak di tempat yang berair.
Aktiviti yang terakhir atau aktiviti kemuncak yang kami lakukan ialah 'fogging' Pegawai-pegawai kesihatan menyembur asap daripada bahan yang mampu menghapuskan habitat aedes. Ketika ini, semua rumah wajib menutup tingkap, pintu dan segala lubang angin supaya asap tidak masuk ke dalam rumah.
Kempen ini berakhir pada pukul 8.00 malam. Semua penduduk telah keletihan. Saya juga berasa sangat letih tetapi pengalaman yang ditimba tidak dapat saya lupakan. Saya berharap agar kempen sebegini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang

KARANGAN PMR 2008: Amalan Berbudi Bahasa Banyak Faedahnya

Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh daripada amalan tersebut.
Contoh Karangan Cemerlang:
Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah swt ini mempunyai berbagai-bagai perangai. Ada yang baik dan tidak kurang juga yang kurang baik. Kita di Malaysia ini, hendaklah selalu mengamalkan amalan berbudi bahasa ini kerana kita sudah sinonim dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan-santun.
Banyak faedah yang kita peroleh dengan mengamalkan sikap berbudi bahasa. Antaranya ialah, kita akan dihormati oleh orang lain. Dengan sikap yang lemah lembut dan tidak bercakap kasar, kita akan dipandang mulia dan disukai oleh mereka yang berada di sekeliling kita. Mereka tidak sesekali memandang serong terhadap kita. Malah, mereka akan berasa senang untuk berdamping dengan kita.
Allah swt juga suka akan orang-orang yang berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana mereka yang berbudi bahasa tidak akan sesekali mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak berfaedah dan perkataan yang kurang sedap didengar oleh orang lain. Bukan itu sahaja, malah kita akan sentiasa diredai oleh Allah swt.
Sikap kita yang berbudi bahasa ini juga akan membawa kesenangan dan kebaikan dalam diri kita. Apabila kita hendak memohon sesuatu pekerjaan, sikap inilah yang akan dilihat oleh seseorang majikan itu. Lalu, majikan tersebut tidak akan teragak-agak untuk mengambil kita bekerja.
Kita juga akan mempunyai banyak kawan. Hanya kawan yang baik sahaja sesuai untuk berdamping dengan kita yang mempunyai budi bahasa ini. Mereka akan berasa gembira apabila berada bersama-sama kita sepanjang masa. Hal ini akan membuat seseorang itu akan berasa yakin pada diri sendiri.
Akhir sekali, amalan berbudi bahasa dapat menjaga maruah kita terutama bagi seorang muslim. Budi bahasa inilah yang mencorak diri seseorang itu sama ada baik atau buruk perbuatannya.
Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan amalan berbudi bahasa dengan semua orang tanpa mengira batas agama atau bangsa. Dengan sikap inilah kita akan dipandang mulia sepanjang zaman. Tepuk dada tanyalah selera. Hanya kita yang akan membentuk budi pekerti dalam diri sendiri.