Disediakan oleh Muhammad Zulhelmi Makhdhar
2012 ....Terkini...Sensasi..........
HADIS-HADIS TENTANG ALLAH MEMERHATIKAN HAMBA-HAMBA-NYA PADA MALAM NISFU SYA’BAN, PENILAIAN MENURUT NERACA RIWAYAT DAN DIRAYAH
Rata-rata di kalangan masyarakat Islam, mempercayai bahawa malam
nisfu Sya’ban atau malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan yang sangat
istimewa dan padanya diputuskan segala qadha` dan qadar. Benarkah
begitu? Ulama hadis yang terdahulu seperti al-Bukhari, al-Tirmizi,
al-Daruqutni, Abu Hatim, al-Bazzar dan lain-lain telah memutuskan
hadis-hadis tentang kelebihan tersebut tidak sahih dan tidak boleh
dipertanggungjawab. Walau bagaimanapun sebahagian ulama al-mutakhirin
cuba mentashihkan salah satu daripada hadis-hadis tersebut. Hadis
tersebut mengenai Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu
Sya’ban.
Antara ulama yang cuba mentashihkannya ialah al-Mubarakpuri dalam
Tuhfah al-Ahwazi, (jil. 3, hal. 503-504) menulis bahawa berhubung
dengan kelebihan nisfu Sya’ban terdapat beberapa hadis yang menunjukkan
bahawa ia mempunyai asal. Al-Albani dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith
al-Sahihah, (jil. 3, hal. 135-139), menyimpulkan bahawa banyaknya jalan
bagi hadis ini melebihi dari kadar yang mencukupi untuk mengangkat
status sanadnya, daripada dha’if kepada sahih! Al-Albani berpendapat
bahawa hadis ini pada asalnya dha’if . Oleh kerana hadis itu mempunyai
banyak jalan maka ia telah dianggap sebagai sahih. Menurut beliau,
sanad ini walaupun terdapat perawi yang dha’if namun ia boleh ditampung
kerana kedhaifannya itu tidaklah bersangatan.
Artikel ini bertujuan untuk menyoroti kesahihan sanad hadis yang
didakwa sebagai sahih berhubung kelebihan malam nisfu Sya’ban. Sejauh
manakah kaedah pentashihan yang digunakan oleh ulama yang memutuskannya
sebagai sahih itu menepati kaedah riwayah dan dirayah hadis.
Pertama: Riwayat Mu’az bin Jabal
- حدثنا محمد بن أبي زرعة ، نا هشام بن خالد ، نا أبو خليد عتبة بن
حماد ، عن الأوزاعي ، وابن ثوبان ، عن أبيه عن مكحول ، عن مالك بن يخامر ،
عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « يطلع الله على
خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن «
لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ،
تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »
Muhammad bin Abi Zur’ah menceritakan kepada kami katanya, Hisyam bin
Khalid menceritakan kepada kami katanya Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad
menceritakan kepada kami daripada al-Auza’i dan Ibn Thawban daripada
ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin
Jabal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan
hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka
kecuali orang musyrik atau orang yang suka berbalah.”
(al-Tabarani dalam al-Mujam al-Awsat, no: 6776, jil. 7, hal. 36, Ibn
Abi ‘Asim, al-Sunnah Bi Takhrij al-Albani, jil. 1, hal. 264, Sahih Ibn
Hibban, no: 5665)
Perawi-perawi hadis Mu’az
1- ‘Utbah bin Hammad
Dalam Tahzib al-Tahzib, jil. 4, hal. 63:
قال أبو حاتم شيخ وقال أبو علي النيسابوري والخطيب ثقة وذكره ابن حبان في الثقات
Abu Hatim mengatakan beliau seorang syaikh (lafaz ta’dil yang
rendah). Abu ‘Ali al-Naisaburi dan al-Khatib mengatakan beliau seorang
thiqah serta disebutkan oleh Ibn Hibban di dalam Kitab al-Thiqat.
Dalam Taqrib al-Tahzib, Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai seorang yang saduq. (hal. 335)
2- Ibn Thauban
Namanya ialah Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban. Al-Zahabi
menulis: “Duhaim mengatakan Ibn Thauban thiqah. Ibn Ma’in mengatakan,
tidak mengapa dengannya. Abu Hatim mengatakan beliau thiqah. Uthman bin
Sa’id meriwayatkan bahawa Ibn Ma’in mengatakan beliau dha’if. Imam
Ahmad mengatakan hadis-hadisnya mungkar. Al-Nasa’i mengatakan dia
seorang yang bukan kuat dalam hadis. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal.
264). Muhammad bin Ali berkata saya mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya
tentang Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban, bagaimana keadaannya.
Beliau menjawab, beliau bukan seorang yang kuat dalam hadis. (Tahzib
al-Tahzib, jil. 3, hal. 346)
Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, beliau seorang saduq melakukan
kesilapan, dituduh berfahaman qadariyyah dan ingatannya berubah di
akhir hayat. (Taqrib al-Tahzib, hal. 289)
Berhubung dengan hadis kelebihan malam nisfu Sya’ban ini, Ibn
Thauban meriwayatkannya secara tidak tetap, kadang-kadang meriwayatkan
daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat dan Ibn
Abi ‘Asim dalam al-Sunnah), dan ada kalanya daripada ayahnya daripada
Makhul (riwayat al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin dan Ibn Hibban
dalam kitab sahihnya). (lihat Abu al-Laith, al-Marwiyyat Fi Fadhl
Lailah al-Nisf, hal. 46-49)
Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya tentang hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Khulaid al-Qari daripada al-Awza’i daripada
Makhul – dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul –
daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal… Ayah saya
menjawab: Ini adalah hadis munkar dengan sanad ini, tidak ada yang
meriwayatkan dengan sanad ini selain daripada Abu Khulaid dan saya
tidak tahu dari mana beliau membawanya. Saya bertanya lagi: “Bagaimana
dengan keadaan Abu Khulaid?” beliau menjawab: Seorang syaikh (lafaz
ta’dil yang rendah dan boleh ditulis hadisnya untuk i’tibar). (Ibn Abi
Hatim, al-‘Ilal, jil. 5, hal. 322-323)
« لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »
Kata al-Tabarani: Hadis ini tidak diriwayatkan daripada al-Awza’i
dan Ibn Thauban kecuali Abu Khulaid bin Hammad dan Hisyam bin Khalid
pula berseorangan meriwayatkannya daripada al-Awza’i. (al-Mu’jam
al-Awsat, jil. 7, hal. 36)
3- Makhul, mufti Dimasyq dan yang paling alim di kalangan ahlinya.
Bukan seorang yang mengatakan beliau thiqah. Ibn Sa’d mengatakan,
sekumpulan ulama mendhaifkan beliau. Al-Zahabi mengatakan, beliau
seorang yang melakukan tadlis dan dituduh menafikan taqdir serta
meriwayatkan secara mursal daripada Ubay, ‘Ubadah bin al-Somit, ‘Aishah
dan Abu Hurairah. (Mizan al-I’tidal, jil. 6, hal. 509-510)
Al-Hakim mengatakan riwayatnya daripada sahabat adalah melalui perantaraan. (Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith, hal. 111)
Di samping itu, Makhul dan Malik bin Yakhamir tidak pernah bertemu.
(Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 135). Ini bermakna sanad
ini terputus. Seorang perawi telah gugur antara Malik bin Yukhamir dan
Makhul. Tidak dapat diketahui siapakah orangnya, sama ada seorang yang
dipercayai atau tidak.
Ringkasnya, sanad riwayat Mu’az terputus di samping terdapat seorang
perawi yang dipertikai oleh ulama. Walaupun jalan hadis ini banyak
namun madar sanad (paksi bagi sanad) adalah Ibn Thauban dan Makhul.
Tambahan pula, Ibn Thauban tidak tetap dalam menyebutkan riwayat ini.
dan Makhul sendiri juga ada meriwayatkan daripada Abu Tha’labah. Bagi
menjelaskan lagi berlakunya idhtirab dalam hadis ini, lihat apa jawapan
tokoh ulama ’Ilal al-Hadith, al-Daruqutni terhadap soalan yang
dikemukakan kepadanya tentang hadis Malik bin Yukhamir daripada Mu’az:
“Diriwayatkan daripada Makhul dan terdapat perbezaan periwayatan
daripadanya. Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad al-Qari meriwayatkan
daripada al-Awza’i, daripada Makhul dan daripada Ibn Thauban daripada
ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin
Jabal. Demikian kata Hisyam bin Khalid daripada Abu Khulaid.
Sulaiman bin Ahmad al-Wasiti telah menyalahinya. Beliau meriwayatkan
hadis ini daripada Abi Khulaid daripada Ibn Thauban daripada ayahnya
daripada Khalid bin Mi’dan daripada Kathir bin Murrah daripada Mu’az
bin Jabal. Kedua-dua hadis ini tidak mahfuz.
Hadis ini juga diriwayatkan daripada Makhul dengan beberapa riwayat.
Kata Hisyam bin al-Gahz daripada Makhul daripada ‘Aishah. Dikatakan
juga daripada Ahwas bin Hakim daripada Makhul daripada Abi Tha’labah.
Dikatakan juga daripada Makhul daripada Abi Idris secara mursal. Hajjaj
bin Artah berkata daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah secara
mursal. Dikatakan juga daripada Makhul sebagai kata-katanya. Hadis ini
tidak sabit (tidak sahih).” (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 50-51)
Kedua: Riwayat Abi Tha’labah
أخبرنا أبو طاهر الفقيه ، أخبرنا أبو حامد بن بلال ، حدثنا محمد بن
إسماعيل الأحمسي ، حدثنا المحاربي ، عن الأحوص بن حكيم ، عن المهاصر بن
حبيب ، عن مكحول ، عن أبي ثعلبة الخشني ، عن النبي صلى الله عليه وسلم ،
قال : « إذا كان ليلة النصف من شعبان اطلع الله إلى خلقه فيغفر للمؤمن ،
ويملي للكافرين ، ويدع أهل الحقد بحقدهم حتى يدعوه »
Abu Tahir al-Faqih memberitahu kepada kami katanya, Abu Hamid bin
Bilal memberitahu kepada kami katanya, Muhammad bin Isma’il al-Ahmasi
menceritakan kepada kami katanya, al-Muharibi menceritakan kepada kami
daripada al-Ahwas bin Hakim daripada al-Muhasir bin Habib daripada
Makhul daripada Abi Tha’labah al-Khusyani daripada Rasulullah s.a.w.
sabdanya: “Apabila malam nisfu Sya’ban Allah memerhatikan
hamba-hamba-Nya lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang
kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian
mereka sehinggalah mereka meninggalkannya. (al-Baihaqi dalam Syu’ab
al-Iman, jil. 3, hal. 381)
حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ بن إِسْحَاقَ التُّسْتَرِيُّ، ثَنَا عَلِيُّ بن
بَحْرٍ، ثَنَا عِيسَى بن يُونُسَ، ثَنَا الأَحْوَصُ بن حَكِيمٍ، عَنْ
حَبِيبِ بن صُهَيْبٍ، عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ، قَالَ: قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ اللَّهَ
يَطْلُعُ عَلَى عِبَادِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ
لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْلِي الْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ
بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدْعُوهُ.
Al-Husain bin Ishaq al-Tustari menceritakan kepada kami katanya,
‘Ali bin Bahr menceritakan kepada kami, katanya al-Ahwas menceritakan
kepada kami daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah katanya
Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerhatikan
hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan orang-orang mukmin
membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan
kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannnya. (al-Tabarani,
al-Mu’jam al-Kabir, no: 18038)
1- Al-Ahwas bin Hakim, seorang yang dhaif. Al-Zahabi menulis: Ibn
Ma’in mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa nilai. Al-Nasa`i
mengatakan dia seorang yang dha’if. Ibn al-Madini mengatakan dia tidak
mempunyai apa-apa nilai dan hadisnya tidak boleh ditulis. (Mizan
al-I’tidal, jil. 1, hal. 315)
2- Makhul tidak mendengar daripada mana-mana sahabat. Kebanyakan riwayatnya daripada sahabat adalah munqati’.
Al-Daruqutni menyebutkan tentang hadis Habib bin Suhaib daripada Abi
Tha’labah, katanya, hadis ini diriwayatkan oleh al-Ahwas dan berlaku
perbezaan dalam meriwayatkan daripadanya. ‘Isa bin Yunus
meriwayatkannya daripada al-Ahwas daripada Habib bin Suhaib daripada
Abi Tha’labah. Makhlad telah menyalahinya dengan meriwayatkannya
daripada al-Ahwas daripada Muhasir bin Habib daripada Abi Tha’labah.
Al-Daruqutni menyimpulkan bahawa hadis ini mudhtarib dan tidak thabit.
(‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 323)
Dalam sanad al-Baihaqi yang disebutkan di atas ada perantaraan di
antara al-Muhasir bin Habib dan Abi Tha’labi iaitu Makhul dan Makhul
sendiri tidak pernah mengambil riwayat daripada sahabat. Ini bermakna
jalan al-Muhasir juga munqati’.
Jika kita merujuk kembali sanad-sanad hadis Mu’az dan hadis Abi
Tha’labah sebenarnya kedua-duanya adalah hadis yang sama kerana berlaku
idhtirab (ketidaktetapan) dalam meriwayatkan hadis ini. Sebagaimana
Makhul meriwayatkan juga sebagai hadis Mu’az, beliau juga
menyebutkannya sebagai hadis Abi Tha’labah.
Ketiga: Riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash
ثنا حسن ثنا بن لهيعة ثنا حيي بن عبد الله عن أبي عبد الرحمن الحبلي عن
عبد الله بن عمرو ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : يطلع الله عز وجل
إلى خلقة ليلة النصف من شعبان فيغفر لعباده الا لاثنين مشاحن وقاتل نفس
Hasan menceritakan kepada kami katanya, Ibn Lahi’ah menceritakan
kepada kami katanya, Huyai bin Abdullah menceritakan kepada kami
daripada Abi ‘Abdul Rahman al-Hubali daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa
Rasulullah s.aw. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan hamba-Nya pada
malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali dua
orang, orang yang suka berbalah dan pembunuh.” (Musnad Ahmad, no: 6642)
Perawi-perawinya:
1- Abdullah bin Lahi’ah
Al-Zahabi menulis: “Ibn Ma’in mengatakan dia seorang yang dha’if dan
tidak boleh dijadikan hujah. Al-Humaidi meriwayatkan daripada Yahya bin
Sa’id bahawa beliau tidak memandang Ibn Lahi’ah dengan apa-apapun. Ibn
Mahdi mengatakan, saya tidak mengambil apa-apa riwayat daripada Ibn
Lahi’ah. Dia telah menulis kepada saya sepucuk surat yang tertulis
padanya, ‘Amar bin Syu’aib menceritakan kepada kami. Lalu saya
membacakannya kepada Ibn al-Mubarak lalu beliau mengemukakan hadis itu
kepada saya daripada kitab. Ibn al-Mubarak berkata, Ishaq bin Abi
Farwah melaporkan kepada saya daripada ‘Amr bin Syu’aib. Yahya bin
Bukair mengatakan, rumah dan kitab-kitab Ibn Lahi’ah terbakar pada
tahun 170 H. Imam Ahmad mengatakan, Ibn Lahi’ah sering menulis hadis
daripada al-Muthanna bin al-Sabbah (seorang yang dha’if) daripada ‘Amr
bin Syu’aib. Kemudian selepas itu dia menceritakan hadis-hadis itu
terus daripada ‘Amar (Ibn Lahi’ah melakukan tadlis dengan menggugurkan
perawi yang dha’if). Yahya bin Sa’id mengatakan, Bisyr bin al-Sariy
menasihati saya, sekiranya kamu menemui Ibn Lahi’ah, janganlah kamu
mengambil daripadanya walaupun satu riwayat. Yahya bin Ma’in
mengatakan, dia seorang yang lemah sebelum dan selepas terbakar
kitab-kitabnya. Abu Zur’ah mengatakan, sama sahaja riwayat-riwayatnya
yang terdahulu dan kemudian. Hadis-hadisnya tidak boleh dijadikan
hujah. Al-Nasa`i mengatakan dia seorang yang lemah. Abu Zur’ah dan Abu
Hatim mengatakan keadaannya tidak tetap tetapi boleh ditulis hadisnya
untuk i’tibar. Ibn Hibban mengatakan, saya telah memeriksa
riwayat-riwayat Ibn Lahi’ah dalam riwayat orang sebelumnya dan
selepasnya lalu saya dapati ada campur aduk dalam orang yang mengambil
daripadanya dan banyak hadis yang tidak terdapat dalam riwayat orang
sebelumnya. Oleh itu, saya memeriksa jalan-jalan hadis dan saya dapati
beliau menyembunyikan kumpulan perawi yang lemah lalu menisbahkan
kepada kumpulan perawi yang thiqah. Dengan itu, riwayat-riwayat palsu
menyusupi dalam riwayatnya. Dalam satu riwayatnya daripada ‘Abdullah
bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda pada ketika sakitnya:
“Panggilkan untukku saudaraku.” Lalu Abu Bakar dipanggil. Tiba-tiba
baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda bersabda: “Panggilkan
untukku saudaruku.” Kemudian dipanggil Uthman lalu baginda berpaling
daripadanya. Kemudian dipanggil ‘Ali. Lalu Rasulullah menyelimutkan
‘Ali dengan selimutnya dan mengadapnya. Apabila ‘Ali keluar daripada
Rasulullah s.a.w., orang bertanya: “Apakah yang Rasulullah s.a.w.
katakan kepada anda? Ali menjawab: “Baginda mengajar kepada saya seribu
bab dan setiap bab membuka seribu bab.”
Ibn ‘Adi mengatakan, riwayat ini direka oleh Ibn Lahi’ah kerana dia
seorang pelampau dalam fahaman Syi’ah. Al-Bukhari mengatakan dia
seorang yang munkar hadisnya. (lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal.
167-174)
2- Huyai bin Abdullah al-Ma’afir al-Misri.
Al-Bukhari mengatakan hadisnya dipertikaikan. Al-Nasa`i mengatakan
beliau bukan seorang yang kuat. Imam Ahmad sendiri mengatakan
hadis-hadisnya mungkar. Ibn ‘Adi pula mengatakan, Ibn Lahi’ah
meriwayatkan daripadanya berpuluh hadis yang kebanyakannya mungkar
(Mizan al-I’tidal, jil. 2, hal. 401)
Ini bererti dalam sanad hadis ini terdapat dua perawi yang sangat dha’if iaitu Abdullah bin Lahi’ah dan Huyai bin Abdullah.
Sheikh al-Albani menyebutkan Risydin bin Sa’d menjadi mutabi’ kepada
Ibn Lahi’ah. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 136)
Walau bagaimanapun, mutaba’ah ini tidak dapat memberikan apa-apa faedah kerana Risydin itu seorang yang sangat dha’if.
Imam Ahmad berkata, beliau tidak mempedulikan daripada siapa riwayat
diambil. Tetapi tidak mengapa dengan hadisnya dalam bab riqaq
(hadis-hadis yang melembutkan hati). Ahmad juga berkata, saya harap dia
elok hadisnya. Ibn Ma’in berkata, beliau tidak ada nilai. Abu Zur’ah
berkata, beliau seorang yang dha’if. Al-Jawzajani berkata, dia
mempunyai banyak hadis munkar. Al-Nasa’i berkata, dia seorang yang
matruk. (Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 75-76 )
Ringkasnya, riwayat ini terdapat dua orang perawi dha’if dan ianya
tidak boleh dikuatkan dengan hadis perawi yang lebih lemah lagi
daripadanya.
Keempat: Riwayat Abu Musa al-Asy’ari
حَدَّثَنَا رَاشِدُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ رَاشِدٍ الرَّمْلِيُّ حَدَّثَنَا
الْوَلِيدُ عَنْ ابْنِ لَهِيعَةَ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ أَيْمَنَ عَنْ
الضَّحَّاكِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَبٍ عَنْ أَبِي مُوسَى
الْأَشْعَرِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَقَ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَسْوَدِ
النَّضْرُ بْنُ عَبْدِ الْجَبَّارِ حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ عَنْ
الزُّبَيْرِ بْنِ سُلَيْمٍ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ
أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَهُ
Rasyid bin Sa’id bin Rasyid al-Ramli menceritakan kepada kami
katanya, al-Walid menceritakan kepada kami daripada Ibn Lahi’ah
daripada al-Dhahhak bin Aiman daripada al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman bin
‘Arzab daripada Abu Musa al-Asy’ari daripada Rasulullah s.a.w.,
sabdanya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. memerhatikan hamba-Nya pada malam
nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua makhluq-Nya kecuali orang yang
syirik atau orang yang suka berbalah. (Ibn Majah, no: 1390)
Muhammad bin Ishaq menceritakan kepada kami katanya Abu al-Aswad
alNadhr bin ‘Abdul Jabbar menceritakan kepada kami katanya Ibn Lahi’ah
menceritakan kepada kami daripada al-Zubair bin Sulaim daripada
al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman daripada ayahnya, katanya saya mendengar
Abu Musa menceritakan daripada Rasulullah s.a.w. lebih kurang sama
dengannya (riwayat sebelumnya).
Perawi-perawi riwayat ini:
1- Al-Walid bin Muslim
2- Abdullah bin Lahi’ah
3- Al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi
4- Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab
5- Al-Zubair bin Sulaim
6- ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab
Sebab-sebab dhaif yang terdapat dalam riwayat ini ialah:
1- Al-Walid bin Muslim, seorang perawi mudallis. (Taqrib al-Tahzib,
hal. 539). Di sini beliau meriwayatkan secara ‘An’anah (cara
periwayatan yang mengandaikan perawi itu tidak menerima secara langsung
daripada perawi sebelumnya.)
2- Ketidaktetapan berlaku dalam riwayat Ibn Lahi’ah
Ibn Lahi’ah meriwayatkan secara tidak tetap. Sekali meriwayatkan
daripada Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman. Pada kali yang lain pula
meriwayatkan daripada Al-Zubair bin Sulaim. Sekali menyebut sebagai
riwayat ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab. Sekali menyebut riwayat ‘Arzab.
3- Sanad terputus antara Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman dan Abu Musa al-Asy’ari
Dalam Kasyf al-Hajah Syarh Sunan Ibn Majah, ‘Allamah Abu al-Hasan
al-Sindi menukilkan daripada al-Munziri bahawa Al-Dahhak bin ‘Abdul
Rahman tidak pernah bertemu Abu Musa al-Asy’ari. (Sunan Ibn Majah
berserta dengan Kasyf al-Hajah, juz. 2, hal. 86)
4- Dalam sanad yang satu lagi al-Dhahhak meriwayatkan daripada
ayahnya. Bagaimanapun ayahnya itu, ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab adalah
seorang perawi majhul.
Berkenaan al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi pula al-Zahabi menulis:
Beliau guru kepada Ibn Lahi’ah, tidak diketahui siapakah beliau itu
dan beliau mempunyai riwayat tentang malam nisfu Sya’ban. (Mizan
al-I’tidal, jil. 3, hal. 441)
Ringkasnya, sanad ini mudhtarib dan terdapat perawi mudallis, dha’if
dan majhul. Ini bermakna sanad sangat lemah dan kelemahan tidak boleh
ditampung walaupun dengan banyak jalan sanad.
Kelima: Riwayat Abu Hurairah
أخبرني عبد العزيز بن علي الأزجي حدثنا عبيد الله بن أحمد بن علي
المقرىء حدثنا محمد بن مخلد حدثنا يعقوب بن إسحاق القلوسي. وأخبرنا القاضي
أبو عمر القاسم بن جعفر بن عبد الواحد الهاشمي حدثنا أبو بشر عيسى بن
إبراهيم بن عيسى الصيدلاني حدثنا أبو يوسف القلوسي حدثنا عبد الله بن غالب
العبداني حدثنا هشام بن عبد الرحمن الكوفي – وقال الصيدلاني هشام بن عبد
الملك لعله بن عبد الرحمن الكوفي وقدم علينا مرابطاً ثم اتفقا – عن الأعمش
عن أبي صالح عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ” ليلة
النصف من شعبان يغفر الله لعباده إلا لمشرك أو لعبد مشاحن ” .
‘Abdul al-‘Aziz bin ‘Ali al-Azji memberitahu kepada kami, katanya,
‘Ubaidullah bin Ahmad bin ‘Ali al-Muqri` menceritakan kami, katanya,
Muhammad bin Makhlad menceritakan kepada kami Ya’qub bin Ishaq
al-Qalusi dan Qadhi Abu ‘Umar al-Qasim bin Ja’far bin ‘Abd al-Wahid
al-Hasyimi menceritakan kepada kami katanya, Abu Bisyr ‘Isa bin Ibrahim
bin ‘Isa al-Saidalani menceritakan kepada kami katanya, Abu Yusuf
al-Qalusi menceritakan kepada kami katanya, Abdullah bin Ghalib
al-‘Abdani menceritakan kepada kepada kami katanya, Hisyam bin Abdul
Rahman al-Kufi menceritakan kepada kami- kata al-Saidalani Hisyam bin
‘Abdul Malik, boleh jadi ia Ibn Abdul Rahman al-Kufi yang datang
menemui kami di Murabit, kemudian sanad mereka bertemu- daripada
al-A’masy daripada Abi Soleh daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Pada malam nisfu Sya’ban Allah s.w.t. mengampunkan
hamba-hamba-Nya kecuali orang yang syirik atau orang yang suka
berbalah. (Tarikh Baghdad, jil. 14, hal. 85)
Perawi-perawinya:
1 – ‘Abdullah bin Ghalib al-‘Abdani.
Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia seorang yang mastur (tidak diketahui keadaannya) (Taqrib al-Tahzib, hal. 268)
2 – Hisham bin ‘Abdul Rahman,
Beliau adalah seorang tidak diketahui siapa. Al-Haithami mengatakan saya tidak mengenalinya. (Majma’ al-Zawa`id, jil 8, hal. 65)
Dalam sanad ini terdapat dua perawi yang tidak dikenali tentang kedudukannya dari segi jarh dan ta’dil.
Keenam: Riwayat Abu Bakar
عن عمرو بن الحارث ، عن عبد الملك بن عبد الملك ، أن مصعب بن أبي ذئب
حدثه ، عن القاسم بن محمد بن أبي بكر ، عن أبيه ، أو عن عمه ، عن جده : عن
النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : « ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة
النصف من شعبان فيغفر لكل شيء إلا رجل مشرك أو في قلبه شحناء »
Daripada ‘Amr bin al-Harith daripada‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik
bahawa Mus’ab bin Abi Zi`b menceritakan kepadanya daripada al-Qasim bin
Muhammad bin Abi Bakr daripada ayahnya atau bapa saudaranya daripada
datuknya daripada Rasulullah s.a.w. katanya: “Allah s.w.t. turun ke
langit dunia pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan setiap sesuatu
kecuali lelaki musyrik atau orang yang di dalam hatinya ada permusuhan.
(Syu’ab al-Iman, no: 3668)
1 – ‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik
Al-Zahabi menulis: al-Bukhari mengatakan hadisnya dipertikaikan,
yakni hadis ‘Amr bin al-Harith daripada ‘Abdul Malik (hadis ini). Ibn
Hibban dan lain-lain mengatakan, hadisnya tidak ada orang yang menjadi
mutabi’ yakni tidak ada perawi lain turut sama meriwayatkannya. (Mizan
al-I’tidal, jil. 4, hal. 404)
Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Bukhari yang mengatakan
bahawa hadisnya dipertikaikan, ini juga dinukilkan oleh al-‘Uqaili dan
beliau menjelaskan bahawa al-Bukhari memaksudkan hadis ini kemudian
menyatakan, dalam bab ini terdapat beberapa hadis yang lemah. Ibn ‘Adi
juga menukilkan kata-kata al-Bukhari dan menyatakan bahawa ‘Abdul Malik
terkenal dengan hadis ini dan tidak ada yang meriwayatkannya daripada
beliau kecuali ‘Amr bin al-Harith. Hadis ini dengan sanad ini munkar.
(Lisan al-Mizan, jil. 5, hal. 269)
Ini bermakna Ibn ‘Adi menyokong pendapat Imam al-Bukhari yang tidak
menganggap banyaknya sanad-sanad yang lemah itu menjadikannya sahih
atau sekurang-kurangnya hasan.
2 – Muhammad bin Abu Bakr al-Siddiq
Beliau dilahirkan pada tahun haji terakhir, meriwayatkan daripada
ibunya Asma` binti ‘Umais tetapi daripada ayahnya secara mursal (Tahzib
al-Tahzib, jil. 5, hal. 54). Ini kerana Muhammad dilahirkan pada tahun
kesepuluh hijrah manakala ayahnya meninggal pada tahun ketiga belas
hijrah.
Kata al-Bazzar:
وهذه الأحاديث التي ذكرت عن محمد بن أبي بكر عن أبيه في بعض أسانيدها
ضعف وهي عندي والله أعلم مما لم يسمعها محمد بن أبي بكر من أبيه لصغره
ولكن حدث بها قوم من أهل العلم فذكرنا وبينا العلة فيها
Hadis-hadis yang saya sebutkan ini daripada Muhammad bin Abu Bakar
daripada ayahnya, dalam setengah sanad terdapat kedha’ifan. Oleh kerana
sekumpulan ahli ilmu menceritakannya maka saya menceritakan juga dengan
menjelaskan ‘illah (penyakit) yang terdapat padanya. (Musnad al-Bazzar)
Ringkasnya, riwayat ini mempunyai dua kedha’ifan kerana terdapat
perawi yang munkar dan terputus sanad antara Muhammad bin Abi Bakr
dengan ayahnya.
Ketujuh: Riwayat ‘Auf bin Malik
حدثنا أحمد بن منصور قال أخبرنا أبو صالح الحراني يعني عبد الغفار بن
داود قال أخبرنا عبد الله بن لهيعة عن عبد الرحمن بن زياد بن أنعم عن
عبادة بن نسي عن كثير بن مرة عن عوف رضي الله عنه قال قال رسول الله (
يطلع الله تبارك وتعالى على خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لهم كلهم إلا
لمشرك أو مشاحن )
Ahmad bin Mansur menceritakan kepada kami katanya, Abu Soleh
al-Harrani yakni ‘Abdul Ghaffar bin Daud menceritakan kepada kami
katanya Abdullah bin Lahi’ah memberitahu kepada kami daripada Abdul
Rahman bin Ziyad bin An’um daripada ‘Ubadah bin Nusay daripada Kathir
bin Murrah daripada ‘Auf katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah
s.w.t. memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu
mengampunkan semua mereka kecuali orang yang melakukan syirik atau
orang yang suka berbalah. (Musnad al-Bazzar, no: 2754)
Perawi-perawi dhaif dalam sanad ini ialah:
1- Abdullah bin Lahi’ah
2- ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um
Al-Nasa`i berkata: ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um seorang yang
dha’if. Al-Daruqutni mengatakan: Beliau seorang yang tidak kuat. Ibn
Hibban berkata: Beliau meriwayatkan hadis-hadis mawdhu’ daripada
perawi-perawi thiqah dan meriwayatkan secara tadlis daripada Muhammad
bin Sa’id bin Maslub. Ishaq bin Rahawaih berkata: Saya mendengar Yahya
bin Sa’id berkata, Abdul Rahman bin Ziyad seorang yang thiqah. Abdul
Rahman bin Mahdi berkata: “Tidak sepatutnya meriwayatkan daripada
al-Ifriqi walaupun satu hadis. Ibn ‘Adi berkata: Kebanyakan hadisnya
tidak diriwayatkan oleh perawi lain.
Ibn al-Qattan berkata: “Di kalangan ulama ada yang menta’dilkan dan
mempertahankannya daripada ditolak periwayatannya. Tetapi yang
sebenarnya, beliau seorang yang dha’if. Al-Fallas berkata: Yahya dan
Abdul Rahman tidak meriwayatkan hadis daripada Abdul Rahman al-Ifriqi.
(Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 280-281)
Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya (Abu Hatim)
dan Abu Zur’ah tentang al-Ifriqi dan Ibn Lahi’ah, siapakah yang lebih
disukai. Mereka berdua menjawab: Kedua-duanya adalah dha’if. (Tahzib
al-Tahzib, jil. 3, hal. 244)
Hadis ini ada juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Kathir bin Murrah secara mursal melalui Hajjaj daripada Makhul.
حدثنا أبو خالد الاحمر عن حجاج عن مكحول عن كثير بن مرة الحضرمي قال :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” إن الله ينزل ليلة النصف من شعبان
فيغفر فيها الذنوب إلا لمشرك أو مشاحن “.
Abu Khalid al-Ahmar menceritakan kepada kami daripada Hajjaj
daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah al-Hadhrami katanya
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. turun pada malam
nisfu Sya’ban lalu mengampunkan dosa-dosa kecuali kepada orang yang
syirik atau orang yang suka berbalah. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, jil.
7, hal. 139)
Kedudukan Makhul dari sudut jarh dan ta’dil telah pun dibincangkan
sebelum ini manakala kedudukan Hajjaj nanti akan disebutkan dalam
perbincangan tentang hadis ‘Aishah.
Kelapan: Riwayat ‘Aishah
حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْخُزَاعِيُّ وَمُحَمَّدُ
بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ أَبُو بَكْرٍ قَالَا حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ
هَارُونَ أَنْبَأَنَا حَجَّاجٌ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ
عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ
بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ
أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ
قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ
بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ
النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ
لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ
‘Abdah bin ‘Abdullah al-Khuza’i dan Muhammad bin ‘Abdul Malik Abu
Bakr berkata, Yazid bin Harun menceritakan kepada kami katanya Hajjaj
memberitahu kepada kami daripada Yahya bin Abi Kathir daripada ‘Urwah
daripada ‘Aishah katanya: “Saya mendapati Rasulullah s.a.w. tiada pada
satu malam lalu saya keluar mencarinya. Rupa-rupanya baginda berada di
perkuburan Baqi’ dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit. Maka
baginda bersabda: “Wahai ‘Aishah adakah awak bimbang Allah dan
Rasul-Nya berlaku zalim terhadap awak? ‘Aishah menjawab: “Memang saya
berkata demikian, dan tidak sepatutnya saya buat demikian.Tetapi saya
menyangka tuan pergi kepada salah seorang isteri tuan. Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. turun pada malam nisfu
Sya’ban ke langit dunia lalu mengampunkan sebanyak bulu kambing Bani
Kalb. (Ibn Majah, no: 1389, al-Tirmizi, no: 739)
Perawi-perawi:
1- Hajjaj bin Artah
Hajjaj bin Artah, seorang yang dhaif lagi matruk. Jika perawi itu
seorang yang matruk maka hadisnya tidak boleh diterima sama sekali.
Tambahan pula, Hajjaj berseorangan meriwayatkan hadis ini. Selain itu,
Hajjaj merupakan seorang mudallis, dan riwayat mudallis tidak boleh
diterima apabila dia meriwayatkan secara ‘an’anah. Beliau tidak
mendengar daripada Yahya bin Abi Kathir.
2- Yahya bin Abi Kathir
Yahya bin Abi Kathir tidak mendengar hadis daripada ‘Urwah. Beliau juga seorang mudallis.
Setelah mengemukakan hadis ini dalam kitabnya, al-Tirmizi membuat
komentarnya: “Dalam bab ini ada diriwayatkan daripada Abu Bakar. Hadis
‘Aishah kami tidak mengetahuinya kecuali melalui jalan ini daripada
hadis al-Hajjaj. Saya mendengar Muhammad (yakni Imam al-Bukhari)
mendha’ifkan hadis ini dan mengatakan Yahya bin Abi Kathir tidak
mendengar daripada ‘Urwah dan al-Hajjaj pula tidak mendengar daripada
Yahya bin Abi Kathir.” (Jami’ al-Tirmizi, hadis no: 739)
Mengapa al-Tirmizi menyebutkan dalam Wa Fi al-Bab daripada Abu Bakar
sahaja sedangkan ada juga diriwayatkan daripada Abu Musa, Mu’az dan Abu
Hurairah?
Adakah beliau tidak mengetahui selain riwayat ‘Aishah atau Abu Bakar
sahaja. Hal ini tidak sesuai untuk diletakkan kepada beliau yang
merupakan seorang pengkaji dan pengkritik hadis. Alasan paling sesuai
untuk ditafsirkan maksud Imam al-Tirmizi itu ialah lemahnya hadis-hadis
lain dalam bab ini dan ia tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran
bahawa malam tersebut mempunyai kelebihan khusus.
Penilaian dari sudut dirayah
Hadis-hadis tentang turunnya Allah s.w.t. ke langit dunia (nuzul
Ilahi) adalah sahih lagi sabit walaupun terdapat perbezaan pendapat
dalam mentakwilkannya. Akan tetapi apakah maksud Allah memerhatikan
hamba-hambanya? Ini agak mengelirukan kerana perbuatan memerhatikan dan
menjenguk tidak tersebut dalam hadis yang sahih.
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى
السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ
مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ
وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke
langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah
sesiapa yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenan untuknya, adakah
sesiapa yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah
sesiapa yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya. (Sahih
Muslim)
Dalam riwayat yang lain disebutkan
يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِينَ
يَمْضِي ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ فَيَقُولُ أَنَا الْمَلِكُ أَنَا
الْمَلِكُ مَنْ ذَا الَّذِي يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ ذَا
الَّذِي يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْتَغْفِرُنِي
فَأَغْفِرَ لَهُ فَلَا يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ
Allah s.w.t. turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu
satu pertiga malam dan berfirman: “Akulah raja, Akulah raja. Siapakah
yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti akan memperkenankan untuknya. Siapakah
yang meminta daripada-Ku? Aku pasti akan memberikan kepadanya. Siapakah
yang memohon ampun daripada-Ku? Aku pasti akan mengampunkannya.
Demikianlah yang berlaku sehingga fajar menyinari.
Panggilan Allah akan hamba-hamba-Nya supaya mereka memohon keampunan
dan ini berlaku pada setiap hari. Tetapi riwayat yang menyebutkan Allah
menjenguk hamba-hamba-Nya itu khusus pada nisfu Sya’ban sahaja.
Nampaknya malam ini sangat istimewa berbanding dengan malam-malam lain
kerana untuk mendapat keampunan tidak perlu sembahyang dan munajat
kepada Allah kerana memadai hanya dengan tidak melakukan syirik dan
dendam kepada orang lain. Kalau begitu alangkah mudahnya, cukup dengan
tidur sahaja pada malam itu sudah mendapat keampunan. Apa yang penting
ialah memastikan diri tidak melakukan syirik dan berbalah dengan orang
lain!
Mengapa disebutkan Allah memerhatikan. Tidakkah bercanggah dengan
riwayat yang terdapat dalam Sahih Muslim bahawa Allah s.w.t. turun pada
setiap malam, bukan malam nisfu Sya’ban sahaja?
Sedangkan pengampunan itu perlu kepada taubat dan amal soleh.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum
lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang
berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi)
nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam
perjuangan)? (Aali ‘Imran: 142)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ
وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ
شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ
فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ
حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Pintu-pintu syurga dibuka pada setiap hari Isnin dan Khamis
lalu diampunkan semua hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan
sesuatupun kecuali seseorang yang bermusuhan dengan saudaranya. Maka
dikatakan, tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai,
tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai,
tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai. (Malik,
Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah)
Hadis ini bermaksud supaya orang yang berbalah dengan saudaranya itu
menyelesaikan dengan segera perbalahan mereka dan berdamai. Walaupun
dari satu sudut hadis ini mukhtasar, namun ia hendaklah difahami
berdasarkan kepada hadis nuzul Ilahi keampunan diberikan kepada sesiapa
yang bertaubat. Orang yang berbalah tidak disebutkan di dalam hadis ini
secara mutlak tidak diampunkan sebagaimana yang terdapat dalam hadis
Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya. Tetapi keampunan akan diberikan
juga jika mereka berdua itu berdamai.
Perhatikan bagaimana lafaz hadis yang sahih telah diubah sehingga
memberi makna baru dengan mengkhususkan malam nisfu Sya’ban dengan
perhatian Allah s.w.t.
Ketidaktetapan pada matan
Dalam matan riwayat Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya ini terdapat
lafaz “atau” yang tentunya mempunyai pelbagai tafsiran dari sudut
bahasa dan juga usul hadis. Menurut bahasa, ia bermaksud kepelbagaian,
pilihan, makna “bahkan” dan sebagainya. Dari segi usul hadis, boleh
jadi “atau” di sini, dipakai dengan pengertian bahasa atau digunakan
oleh perawi bagi menunjukkan beliau syak dalam menyebutkan lafaz yang
asal.
Jika “atau” di sini dengan makna syak perawi, adakah perawi dalam
setiap sanad syak dalam periwayatan mereka. Hanya dalam hadis Abi
Tha’labah tidak ada syak manakala hadis ‘Aishah menyebutkan keampunan
itu secara mutlak. Ini bermakna syak berlaku dalam enam riwayat di mana
dalam setiap sanad ada sahaja perawi yang syak.
Jika kita menafikan syak perawi, adakah syak itu datang dari
Rasulullah s.a.w.? Andaian ini tidak mungkin diterima kerana amat jauh
untuk difikirkan baginda mengalami keraguan dalam penyampaian hadis.
Jika diandaikan “atau” di sini bukan dengan makna syak perawi, maka
boleh jadi ia mengandungi makna ‘bahkan”. Ini bererti bahawa hadis itu
bermaksud orang yang berbalah sama dengan orang musyrik. Mengapa pula
disamakan antara dosa orang yang suka berbalah dengan orang musyrik.
Bukankah dosa syirik sekali-kali tidak akan diampunkan Allah s.w.t.?
Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr pula menyebutkan orang yang membunuh
diri dan riwayat Abi Tha’labah menyebutkan orang kafir dibiarkan dan
ditangguhkan kedudukan mereka.
Sekiranya malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan tentu sekali
memperbanyak ibadat pada malam itu digalakkan kerana kelebihannya itu
seperti malam Lailatul Qadar. Apa makna melarang orang ramai beribadat
pada malam nisfu Sya’ban dalam masa sama disabitkan akan kelebihannya.
Setengah pihak mempercayai malam 15 Sya’ban sebagai malam yang mulia
kerana pada malam itulah al-Qur`an diturunkan. Sedangkan ahli tafsir
mengatakan itu adalah malam Lailatul Qadar bukan malam nisfu Sya’ban.
(lihat Tuhfah al-Ahwazi, jil. 3, hal. 504)
Jika diperhatikan, sebenarnya 15 Sya’ban adalah hari yang begitu
penting bagi golongan Syi’ah dan ditunggu oleh mereka. Menurut
kepercayaan mereka pada malam itu Imam kedua belas di sisi mereka telah
dilahirkan.
Menurut mereka pada malam inilah, kononnya Imam Mahdi dilahirkan.
Al-Majlisi dalam kitabnya Bihar al-Anwar menukilkan riwayat daripada
salah seorang imam, katanya:
Diriwayatkan daripada Musa bin Muhammad bin al-Qasim bin Hamzah bin
Musa bin Ja’far katanya, Hakimah binti Muhammad bin Ali bin Musa bin
Ja’far bin Muhammad bin Ali bin Hasan bin Ali bin Abi Talib berkata,
Abu Muhammad, al-Hasan bin Ali telah mengutuskan seseorang kepadaku
katanya, wahai makcik, berbukalah di rumah kami pada malam ini kerana
sesungguhnya ia adalah malam nisfu Sya’ban. Sesungguhnya Allah s.w.t.
akan membangkitkan pada malam ini seorang hujah yakni hujah-Nya di muka
bumi. (Bihar al-Anwar, jil. 51, hal. 2)
Dalam keadaan tidak sedar orang yang mengkhususkan malam ini dengan
amal ibadat kerana menyakini adanya kelebihan, mereka merayakan satu
malam yang sangat istimewa di sisi Syi’ah Imamiyyah.
Janganlah kita menganggap sesuatu itu mempunyai kelebihan yang
khusus sedangkan ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam. Lebih
parah lagi, keistimewaan itu sebenarnya berasal daripada tradisi
kepercayaan luar daripada Islam yang hanya mahu menonjolkan fahaman dan
bid’ah mereka. Apatah lagi salah seorang daripada perawi hadis ini
seorang yang dituduh mempunyai fahaman Syi’ah yang melampau, iaitu
‘Abdullah bin Lahi’ah. (lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)
Dengan mereka-reka hadis kelebihan malam nisfu Sya’ban seolah-olah
membuka ruang maksiat sepanjang tahun dan apabila tibanya nisfu Sya’ban
baru tiba masanya untuk mendapatkan kelebihannya. Sedangkan untuk
mensabitkan kelebihan memerlukan kepada dalil yang sahih.
tapi mari berbincang dengan mahabbah =)
“Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada
siang harinya, status hadis-hadisnya menjadi perbincangan akademik para
ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh
dijadikan hujah Syarak, namun berdasarkan Hadis-hadis Sahih diatas, ia
boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal
Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang
bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah
dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha
tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan
Al-Banna). Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan dari kitab
Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz
Ad-Dimyaty:”
NISFU SYA’BAN: HENTIKAN PENYEBARAN HADIS PALSU
zulhairi
12 syabaan 1433 hijri(2012)
saya boleh jelaskan tentang nifsu syaaban : HENTIKAN PENYEBARAN HADIS PALSU
Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban
mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai
beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu
adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan
adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan
puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw
menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus
seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua
hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:
- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam
Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada
waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya
Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari
terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun
daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki
daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang
sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa
yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah
begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya
fajar))..
Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi
di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah
oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat
solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati)
sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga
puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi
menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada
melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang
memusuhinya)).
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi,
al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula
meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir
al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta
dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh
Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya
berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali
surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga
Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan
khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari
neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan
menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis
ini dengan maudhu’.
Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang
khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru,
tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk
dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang
dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah
Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman
atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan
mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan
menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu
Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah
saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya
al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat
sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat
pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak
seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah
dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min
al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara
perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan
malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan
tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang
menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh
berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan
solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah
dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga
menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak
terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut
tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian
ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan
mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam
Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di
martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah
Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut
sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh
sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya
adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia
adalah salah)).
Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang
mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca
surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan
umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia,
kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari
kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang
sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa
al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam
al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain
lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam
Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak
mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang
menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan
tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah
yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan
mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas
dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut
al-Imam al- Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya
kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi
hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)).
(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’
(Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak
terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah
hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan
Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di
dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan
digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari
Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau
puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini
dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah,
maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam
kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus
untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan
ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan
ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya,
tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)
c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia
akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam
akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan
niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman.
Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih
yang menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam
bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta
pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis
tersebut di sisi ulama hadis.
Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala,
keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt.
Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan
sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta
amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para
sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan
ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah
saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan
keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras
kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat
kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan
kekuatan oleh Allah swt.
Assalamu’alaikum,
pertanyaan :MUHD ZULFIKRI
bila tiba bulan sya’ban pasti ada golongan yang mengaku dirinya
salafi atau penolong al Quran sunnah, atau firqatun najiah membid’ah
sesatkan amalan dlam bulan sya’ban. Seolah-olah mereka ini sudah
dijamin masuk ke dalam syurga dan berlagak sebagai Tuhan untuk
menghukum ulamak dan umat Islam yang menerima pendapat dibolehkan
melakukan amalan tertentu dengan masuk ke dalam neraka.
Moga dijauhkanlah pendapat wahhabi salafi yang suka mengkafirkan, menghukum musyrik dan sesat kepada ulamak dan jemaah Islam.
———————————————————————————
Soalan :
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya’ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat
sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu
Sya’ban daripada hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara
satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis
Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya’ban serta menghidupkan
malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya.
Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap
hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang
kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : “فَقَدْتُ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ
فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ
:يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ
وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ
أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى
يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا
فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ” – رواه الترميذي
وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata
: “Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah
keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di
kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu
baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya
melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian
sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian
daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu
aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya
Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam
nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang
dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang
terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb.”
-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ
خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ
خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ” – رواه الطبرانى وصححه ابن
حبان .
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W
telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada
malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua
makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan
dosa orang yang bermusuhan.”
-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ
النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا
فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ
الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا
مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا
أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ” – رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah
bersabda : “Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu
bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya
Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya
setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon
keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang
memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang
ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang
demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”
-Riwayat Ibnu Majah.
Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali
selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini
kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara
berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan
sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian
daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara
yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut
tidak beri’tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara
tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa
sekiranya meninggalkannya.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : “كَانَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ
كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً” – متفق عليه .
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan
mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan
ataupun menaiki tunggangan.”
-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya
menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari
untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta
melakukannya secara berterusan.”
-tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :
“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara
untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka
telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta
mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap
perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan
ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi
bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab
Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk
melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya
seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan
Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah
ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan
orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah
menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak
menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta
menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa
maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana
mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W.
Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para
salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu
Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka
perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
pertanyaan :
Hezwan
Lupa nak nyatakan sesuatu, pandai hadith bukan bermakna dah boleh berfatwa.
Kendian bila dapat hadith terus jatuh hukum
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan
dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan
mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup,
maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang
jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan
agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka
menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang
berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa
ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama
walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan
‘fatwanya’ sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja
tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus
mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk
neraka.
Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila
ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah
perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.
Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri
bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.
Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
“Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah
ia dikatakan sebagai faqih…? “Tidak…!”, jawabnya. “Dua ratus ribu
hadith..?” “Tidak..!.. katanya. “Tiga ratus ribu hadith..?” “Tidak..!
Jawabnya. “Empat ratus ribu hadith..? “Juga tidak..!, tetapi begini
(iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah
telapak tangannya.
Dengan menghafaz belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat
mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi
syarat-syarat lain untuk berfatwa.
Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun
yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa
mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.
Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :
Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan
ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan
nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan
(mengeluarkan fatwanya)”.
Ibn al Qasim berkata :
“Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : “Saya sedang memikirkan
(jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu,
tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti”.
Ibn Abi Layla pernah berkata :
“Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat
Rasul sallaLLahu ‘alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka
diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada
yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang
ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang
yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa
atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain
menjawabnya.
Laman web Darul Kautsar ada melakukan jenayah ilmu, Diambil pendapat
muhaddith yang menyokong pendapat mereka sahaja dengan tujuan menghukum
sesat dna bid’ah. Di situlah berkumpul anak murid Rasul Dahri seperti
an Nawawi (- penulis blog, an nawawi da blog, bahaya-syirik dan
fiqh-sunnah) Rasul Dahri (menghukum kafir kepada golongan asya’iroh).
Haih…
Pertanyaan:Nurul Anis Farhana
Mengenai golongan islam yang mana yang paling benar dalam mengimani
agama islam nya, mari kita belajar dari sejarah umat umat terdahulu
yang diceritakan di dalam Al Quran.
Surah Yunus (10)
Ayat 36….Kebanyakan dari kalangan manusia hanya bersandarkan kepada
andaian semata. Yang nyata, andaian tidak dapat menggantikan yang haq.
Sesungguhnya Allah Maha Tahu apa yang mereka lakukan.
Ayat 37….Dan Quran ini tidak bisa diciptakan selain oleh Allah,
dimana ia mengesahkan apa apa yang sebelumnya dan menjelaskan apa apa
yang telah ditetapkan untuk manusia. Padanya tiada keraguan dari Tuhan
sakelian alam.
“Umat Nasrani bersekongkol dgn mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak
Allah. Umat Muslim bersekongkol dgn mengatakan bahawa Hadis &
Sunnah itu adalah juga sebahgian dari wahyu Allah”
“Bila nama Allah saja yg disebut mereka tidak merasa senang dan
tenteram tetapi bila ada nama selain nama Allah disebut bersama dgn Nya
baru mereka bisa merasa senang dan tenteram”
Dari cerita2 umat umat terdahulu itu, kita akan dapati bahawa
golongan mayoritas nya cenderung kpd penyimpangan satelah setiap kali
Nabi yg di turunkan Allah itu wafat. Penyesatan atau penyimpangan itu
akan mula terjadi paling tidak sekitar 50 tahun kemudian satelah wafat
nya para nabi2 mereka. Sejarah penyesesatan umat terdahulu itu seakan
akan satu hal yg lumrah. Penyimpangan dari landasan yg telah ditetapkan
oleh para Nabi2 Allah itu pasti terjadi.
Saya percaya umat Nabi Muhammaad juga tidak terkecuali. Nah sekarang
umat Nabi Muhammad ini sudah 1400 tahun lebih. Apakah kita yakin kita
tidak saperti umat umat yang terdahulu itu yg cenderung kpd
penyimpangan? Apa istimewa nya kita, umat Nabi Muhd.ini? Tidak ada
keistimewaan nya dan tak ada bezanya. Saya yakin kita jugak sama
saperti umat terdahulu itu yg cenderung kpd penyesesatan dan
penyimpangan. Nah. Sekarang kalau kita kaji dari segi mana nya
kesesatan golongan mayoritas umat Muhammad ini kita akan dapati bahawa
penyesesatan golongan mayoritas adalah dalam mengimani kpd apa yg di
sebut Hadis dan Sunnah Nabi. Baik mereka yg mengaku Ahli Sunnah Wal
Jamaah, Baik mereka yg mengaku Ahlul Bait (Golongan Syiah). Baik mereka
yg mengaku Wahabi.dan saterus nya. Rata
rata golongan2 ini yg juga menjajdi golongan mayoritas umat islam ini
tidak lepas dari taasubnya kpd ulama2 mereka atau imam2 mereka selain
dari Hadis dan Sunnah Nabi itu. Karena apa? Karena Hadis dan Sunnah ini
tidak ada pada waktu sekitar 100 tahun satelah wafat nya nabi Muhammad
s.a.w. Tidak ada yg nama nya Bukhari-Muslim dan saterus nya. Tidak ada
Iman Empat (Shafii, Maliki, Hanbali
dan Hanafi). Unsur2 dari kitab2 ini dan pendapat ulama2 ini hanya berdasarkan andaian semata.
Mahukah kita ambil iktibar dan pelajaran dari umat umat terdahulu yg
di ceritakan kpd kita melalui Al Quran.? Saya yakin tidak ramai yg akan
mengambil iktibar dan pelajaran dari hakikat ini sebagaimana nya tidak
ramai dari umat yg terdahulu. Namun sabagai amanah yg diwajibkan
tulisan ini hanya sebagai usaha utk mereka yg mahu belajar dari sumber
yg kuat dan meyakinkan ia itu kitabullah Al Quran dan buat mereka yg
mahu BERFIKIR SECARA BERANI, ADIL, IKHLAS dan RENDAH HATI demi utk
mendapatkan keredhaan kpd Allah subhanahu wataalaa…..
Amin…..
M
ENGAKHIRI PERBINCANGAN HARI INI DENGAN TASBIH KIFARAH DAN SURAH AL ANNAS