Aku Sebuah Televisyen
Aku sebuah televisyen. Aku dilahirkan di
Shah Alam, Malaysia. Nama aku ialah Panasonic, jenama yang terkenal di
negara aku. Setelah siap tubuh badanku dibuat, aku dimasukkan ke dalam
sebuah kotak yang besar kerana aku berukuran 80 sentimeter. Selepas itu,
aku dan rakan-rakan dieksport ke pelbagai negara di seluruh dunia
dengan menaiki kapal terbang. Aku dihantar ke sebuah pulau yang bernama
Singapura.
Setibanya aku di Singapura, aku dapati negara ini
mempunyai cuaca yang sama dengan tempat asalku. Aku berasa bertuah
kerana dihantar ke sebuah negara yang sememangnya aman, bersih dan
harmoni. Aku dihantar ke sebuah kedai barangan elektrik yang berhawa
dingin. Situasi ini perlu untuk diriku demi menjaga tubuh badanku yang
tidak tahan akan sinaran panas terik matahari.
Rupa aku memang
berlainan dengan televisyen yang lain. Aku merupakan modal televisyen
yang baharu dan berbentuk LCD. Sewaktu dipamerkan, diriku menjadi
perhatian ramai terutama mereka yang suka akan modal baru televisyen.
Hargaku sedikit mahal berbanding dengan televisyen lain kerana
keistimewaan aku. Aku berharga RM1000.00.
Pada suatu hari, aku
telah dibeli oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus syarikat.
Aku dibawa balik ke rumah dan dipasang. Aku berasa beruntung kerana
tuanku sangat menyayangi diriku. Kehidupan baharu amat menggembirakan.
Setiap malam, tuanku dan keluarganya menggunakan aku untuk menonton
rancangan televisyen. Tuan aku menjaga aku dengan baik.
Sekelip
mata aku telah berkhidmat kepada tuan selama 5 tahun! Aku berasa begitu
gembira kerana masih lagi digunakan oleh tuanku. Walaupun tuanku sudah
berpindah ke tempat lain, namun beliau tetap membawa aku ke tempat yang
baharu. Aku amat berharap agar aku dapat menyumbangkan jasa baktiku
hingga aku tidak boleh digunakan lagi.