KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH
Karangan Berdasarkan Bahan rangsangan (Bahagian A)
Dalam
meniti kehidupan pada marcapada,pelbagai jenis gejala sosial yang kian
teruk melanda negara kita terutamanya kes penyalahgunaan dadah dalam
kalangan rakyat Malaysia semakin serius serta semakin luas menular ke
serata dunia. Masalah ini ibarat ‘duri dalam daging’. Saban hari,kes
penyalahgunaan dadah yang membuatkan kita menjadi walang ini sering
terpampang di dada media cetak dan “terjerit” keluar dari corong-corong
media elektronik. Fenomena ini ternyata amat mendukacitakan semua
pihak.Apakah impak atau implikasi penyalahgunaan dadah? Hal inilah
persoalan yang harus dijadikan renungan dan perbincangan kita.
Terdapat
banyak kesan atau impak yang negatif akibat penyalahgunaan
dadah,antaranya adalah masa depan penagih dadah tersebut tidak terjamin
serta seolah-olah membawa diri ke kancah kemusnahan. Penagih dadah
tersebut bukan sahaja menuju ke arah kemusnahan masa depan dirinya malah
telah membahayakan kesihatan di mana akan meninggikan risiko untuk
mendapat penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C dan D,
kerosakan buah pinggang,otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan
lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak
diperoleh,mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita.
Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan
penyakit AIDS yang amat digeruni. Bak kata pepatah “sesal dahulu
pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya”.
Sementelahan
pula,keluarga penagih turut akan mendapat aib apabila masyarakat
setempat mengetahui salah seorang anggota dari keluarga tersebut
terlibat dalam gejala tersebut. Secara langsung, maruah serta imej
keluarga akan terjejas. Masyarakat setempat akan memandang rendah serta
menghina keluarga tersebut. Hal ini akan mengakibatkan mereka yang tidak
bersalah dalam keluarga tersebut dianggap bersalah serta mereka tidak
dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Di samping itu,anggota yang
terbabit terpaksa menggembleng tenaga untuk memikirkan jalan keluar yang
baik dengan menghantarnya ke hospital serta harus membiayai kos
perubatan yang mahal.Bak kata pepatah” nasi sudah menjadi bubur”.
Akhir
sekali, kesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat akan
menjejaskan ekonomi negara.Hal ini demikian kerana, imej dan maruah
negara akan terjejas di persada dunia yang akan menyebabkan urusan
politik yang membabitkan perdagangan dengan negara-negara lain tidak
dapat berjalan dengan lancar. Bagi menggelakkan kejadian ini berlaku,
kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara
meluas.Namun demikian,tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya
kita pikul bersama.
Konklusinya,kita
harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis
dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita
bersama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat
daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya
satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah
Habis-Habisan”.
karya:
Muhd Zulhelmi Makhdhar
2RKA 2012
SMK Sri Tanjung
No comments:
Post a Comment